TIPS UNTUK PELAJAR TAHUN AKHIR

Ilham penulisan kali ini lahir dari hati. Seperti ribuan pelajar lain di serata dunia, saya kini berada dalam tahun akhir di University of Manchester. Baru minggu kedua, saya dapat merasakan bahawa ia susah untuk saya. Mungkin kerana saya perlu melalui banyak perubahan. Dahulu, mudah untuk berkomunikasi dengan ahli kumpulan untuk kerja berkumpulan. Sekarang, semuanya dilakukan dengan menggunakan Zoom. Dahulu, saya akan cuba untuk menyiapkan tugasan di universiti, kali ini universiti ditutup, jadi saya memang perlu membuat semuanya dari rumah. Sedang saya runsing memikirkan cara untuk mengira horizontal wind loading, saya teralih untuk mencari dan berkongsi tips sebagai seorang pelajar tahun akhir!

TIPS UNTUK PELAJAR TAHUN AKHIR

1) Rancang kehidupan anda

Kita semua pernah lalui perkara ini. Habis sahaja satu semester, kita bertekad untuk tidak melakukan kerja pada saat akhir untuk semester yang seterusnya. Tetapi, mungkin atas faktor-faktor lain, kita tetap melakukan kerja pada saat akhir. Kata kunci untuk menyelesaikan masalah ini ialah ‘merancang’. Tahun akhir merupakan tahun yang mata penting utnuk semua pelajar. Rancang waktu pembelajaran anda, rancang waktu bersosial anda, rancang waktu berehat anda, rancang masa anda dan pastikan anda cakna tarikh-tarikh akhir yang penting. Mulakan perancangan anda lebih awal dan disiplinkan diri untuk mematuhi perancangan tersebut.

2) Gunakan semua sumber

Di universiti, kita mempunyai banyak kelebihan untuk menikmati akses percuma ke pelbagai sumber rujukan. Manfaatkan perkara ini selagi masih bergelar pelajar. Dalam keadaan pandemik COVID-19, perpustakaan di universiti mungkin masih dibuka, jadi sila semak semula dengan pihak universiti masing-masing. Perpustakaan bukan sahaja menyediakan perkhidmatan peminjaman buku, tetapi lebih dari itu. Di University of Manchester misalnya, khidmat sokongan kerjaya juga disediakan.

Sumber rujukan tidak semestinya boleh didapati di perpustakaan sahaja, terdapat banyak laman sesawang yang memfokuskan untuk memberikan pendidikan di alam maya. Dunia kini hanya di hujung jari, jadi manfaatkannya untuk membantu diri sendiri.

3) Amalkan pemakanan sihat

Pemakanan yang sihat dan seimbang sememangnya memainkan peranan penting. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan panduan pinggan sihat Malaysia pada tahun 2016. Secara umumnya, diet suku suku separuh ini terdiri daripada suku makanan berkarbohidrat, suku makanan berprotein dan separuh lagi sayur-sayuran dan buah-buahan.

Latih diri untuk mengurangkan pembelian makanan sejuk beku (frozen food) dan cuba untuk memasak menggunakan bahan-bahan yang segar. Untuk sesetengah orang yang mungkin tidak suka memasak atau mempunyai kekangan waktu, pastikan anda tetap makan dengan sihat. Makanan sihat akan membantu anda untuk merasa lebih cergas menjalani hari.

4) Dapatkan tidur yang mencukupi, selesa dan berkualiti

Walaupun anda sangat tertekan tentang assignment anda, jangan korbankan tidur anda. Kita semua diberikan 24 jam dalam sehari tetapi ini tidak bermaksud anda perlu menggunakan 24 jam tersebut sepenuhnya untuk melakukan tugasan tanpa tidur. Elakkan pengambilan minuman tenaga dan hargai waktu tidur sebagai waktu rehat. Tidur yang mencukupi sangat penting untuk mengurangkan tekanan. Sekitar satu jam sebelum tidur, matikan telefon pintar atau komputer riba anda.

Selain itu, pisahkan ruang kerja dengan ruang rehat. Jangan jadikan tempat tidur anda sebagai tempat belajar dan juga sebaliknya.

5) Bersenam dengan kerap

Setiap hari, pastikan anda keluar dari rumah untuk berehat sebentar dari kerja. Tidak perlu untuk meluangkan masa berjam-jam untuk berlari. Pada dasarnya, anda hanya perlu meningkatkan kadar degupan jantung anda. Sekadar riadah petang atau berjalan kaki di sekitar tempat tinggal anda juga mencukupi. Cuba untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bersenam. Anda boleh pergi ke gim, atau mengikuti program bersenam di YouTube.

Kita semua sedia maklum dengan manfaat bersenam. Selain daripada membantu untuk mengurangkan stress, bersenam juga dapat membakar kalori dan membantu anda untuk tidur dengan lebih lena. Pembebasan hormon endorfin akan membantu untuk mengurangkan tekanan.

6) Tetap bersosial

Jangan biarkan kerja anda mengambil 24 jam anda. Luangkan juga masa untuk bersosial dengan keluarga atau rakan. Keluar makan dengan rakan anda selepas habis kuliah atau menghantar assignment, luangkan masa untuk menghubungi keluarga dan rancang sarapan pagi di kafe bersama rakan serumah anda. Mungkin anda juga boleh rancang untuk bersenam bersama-sama dengan rakan anda. Pada hujung minggu pula, alihkan perhatian dari kerja dan lakukan aktiviti luar. Universiti bukan sahaja tempat belajar, jadi nikmati aspek sosial di universiti anda.

7) Ambil rehat yang pendek dan kerap

Semua orang memerlukan rehat, dan bekerja tanpa rehat secara berterusan boleh memudaratkan kesihatan dan mengurangkan produktiviti anda. Gunakan teknik Pomodoro untuk membolehkan anda kekal melakukan kerja dan mendapatkan rehat dengan secukupnya. Waktu rehat selama 5 minit boleh digunakan untuk mengisi semula botol air yang telah kosong atau keluar dari rumah dan hirup udara segar.

8) Tetapkan rutin anda

Rutin akan membantu anda untuk mempunyai tabiat yang sihat dan seterunya membantu anda untuk merancang kehidupan anda (Tips 1). Tetapkan masa tidur, masa makan malam. Mungkin anda juga boleh tetapkan rutin pagi, rutin belajar dan rutin sebelum tidur. Dalam masa yang sama, kekalkan fleksibiliti sekiranya rutin ini terganggu.

9) Persekitaran yang positif

Ini adalah satu perkara yang paling penting agar tahun akhir tidak terlalu memberikan tekanan. Saya amat menghargai keluarga saya yang sentiasa menjawab panggilan video saya ketika saya amat memerlukan mereka! Pastikan diri anda dikelilingi oleh orang-orang yang ikhlas untuk melihat kejayaan anda, yang sentiasa berada di saat anda susah dan senang.

10) Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain

Mungkin anda merasakan terdapat rakan anda yang meletakkan usaha yang sedikit tetapi lebih berjaya dari anda. Mungkin anda merasakan bahawa anda tertinggal dalam kehidupan kerana ada masa depan orang lain sudah jelas sedangkan anda masih tercari-cari. Pada hakikatnya, kita semua perlu sedar bahawa apa yang kita lihat dan terjemahkan tidak semestinya betul. Mungkin perspektif kita yang memanipulasikan pemikiran kita. Satu fakta yang penting juga, rezeki kita didatangkan dengan pelbagai bentuk, cara dan rupa. Fikir yang positif dan hanya bandingkan diri anda dengan masa lalu anda, bukan orang lain.

Dalam masa yang sama, membandingkan diri anda dengan orang lain untuk merasakan bahawa anda lebih dari pelbagai aspek juga tidak sihat. Elakkan perbandingan dengan orang lain dan cukup hidup untuk diri sendiri.

error: Content is protected !!