Cabaran alam universiti asah potensi diri

Sebagai mahasiswa, setiap cabaran yang mendatang adalah 'guru' terbaik untuk mengasah potensi diri sebagai persediaan menuju alam kerjaya. Ikuti kisah empat individu di bawah, berkongsi pengalaman menempuh alam universiti dan ketahui cara mereka memanfaatkan setiap peluang untuk mencipta kejayaan.

Persediaan Tempat Belajar

1) Medium pembelajaran baharu mencabar

Kehidupan kampus sudah pasti jauh berbeza dengan alam persekolahan. Bermula daripada rutin harian sehingga kaedah pembelajaran, semuanya tidak lagi sama. 

 

Berkongsi pengalamannya, pelajar tahun dua Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Muhammad Syauqi Ishak, berkata peralihan medium pembelajaran menjadi satu cabaran besar.

 

"Di sekolah, saya terbiasa dengan suasana pembelajaran bahasa Melayu, tetapi segalanya berubah di universiti apabila kuliah dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

 

"Ditambah pula dengan jumlah tugasan yang lebih banyak, ia bukan perkara mudah dan saya perlu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri," katanya.

 

Bagi mengatasi masalah itu, Syauqi mengikuti kumpulan belajar di samping mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pensyarah serta rakan yang fasih bertutur bahasa Inggeris.

 

Beliau juga komited memperkukuh strategi belajar termasuk menyediakan jadual bagi memastikan waktu belajar diurus teliti supaya setiap tugasan dan silibus pembelajaran tidak ketinggalan.

2) Alami tekanan, dukung amanah besar

Penuntut South Australian Certificate of Education International (SACEi), Aqif Addy Zulkifly, pula berkongsi kisah berbeza.

 

Menurut Aqif, sebelum ini dia kerap mengalami tekanan akibat terlalu memikirkan cara untuk mengekalkan prestasi baik.

 

"Sebagai pelajar tajaan, saya yakin ramai menaruh harapan tinggi dan mengharapkan yang terbaik. Hal ini membuatkan saya tertekan dan bimbang mengecewakan mereka.

 

"Menyedari ia menjejaskan tumpuan belajar, saya cuba mengingatkan diri bahawa setiap manusia pasti melakukan kesilapan di samping belajar menerima kelemahan diri.

 

Aqif turut meluahkan rasa syukur kerana keluarga dan rakan tidak henti memberi sokongan dan kata semangat sekali gus membuatkannya lebih yakin bahawa dia sudah melakukan yang terbaik.

 

Ditanya mengenai pembabitan di universiti, Aqif berkata dia gembira apabila berpeluang menjadi salah seorang tenaga pengajar bagi program tuisyen percuma anjuran Taylor's University.

 

"Berkongsi ilmu secara dalam talian menerusi program Make A Difference United (MADU) adalah satu pengalaman yang hebat dan membanggakan. 

 

"Selain berpeluang membantu pelajar kurang berkemampuan, saya sendiri dapat menambah lebih pengetahuan dan pada masa sama dapat mengulang kaji pelajaran," kongsi Aqif.

3) Mudah hilang tumpuan

Berkongsi cabaran belajar dalam suasana norma baharu, Fatin Hanani Abd Fattah pula mengakui bahawa dia antara individu yang sukar memberi tumpuan ketika sesi kelas dalam talian.

 

"Sebelum ini, jika tidak ada rakan membantu mengingatkan saya mengenai senarai tugasan yang perlu diselesaikan, saya mungkin terlupa semua perkara. 

 

"Sejak itu, saya belajar daripada kesilapan dan memperbaiki kelemahan diri dengan berusaha memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran termasuk memastikan semua tugasan diselesaikan tepat masa," katanya. 

 

Untuk kembali fokus, Fatin menyarankan pelajar sepertinya mencari waktu rehat di antara sesi kuliah dan belajar. Terlalu penat dan tidak cukup rehat boleh menyebabkan seseorang itu hilang tumpuan dan kurang minat untuk terus belajar. 

 

"Selain itu, melakukan perkara yang anda gemari di waktu terluang seperti bermain permainan mudah alih atau menonton filem juga membantu mengembalikan semangat.

 

"Paling penting, apabila kita mempunyai objektif belajar yang jelas, ia berupaya membuat anda kekal bersemangat sepanjang semester," kongsi Fatin.

4) Jangan putus asa

Terpaksa menangguhkan pengajian selama dua tahun akibat masalah kesihatan tidak mematahkan semangat Aimi Hamizah Kamarul Zaman kembali mengejar impian. 

Tidak lokek berkongsi pengalaman, Aimi Hamizah yang juga pelajar tahun akhir Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, berkata dia tidak pernah menganggap bidang perubatan satu beban sebaliknya kerjaya itu memberi inspirasi dalam hidup. 

"Pesakit yang saya temui sepanjang tempoh pengajian perubatan di Hospital Sungai Buloh banyak menyokong saya. 

"Sebilangan besar pesakit bersedia ditemu ramah dan diperiksa kerana mereka memahami bahawa Hospital Sungai Buloh adalah hospital pengajaran," katanya.

Menurut Aimi Hamizah, setiap pesakit mempunyai kisah tersendiri yang cukup memberi inspirasi sekali gus mengajarnya mengenal erti kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian hidup. 

"Saya belajar banyak perkara daripada mereka bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga cara untuk berempati, berhubungan dan muhasabah diri sesama manusia," kongsi Aimi Hamizah.

Sementara itu, minat meneroka perkara baharu dan sikap berani mencuba membuatkan Aimi Hamizah mengorak langkah besar dalam bidang keusahawanan. 

Menurut Aimi Hamizah, ketika berada di tahun keempat pengajian, dia kerap melakukan kerja sambilan bagi menimba pengalaman dan menjana pendapatan sampingan. 

"Bagaimanapun, selepas pandemik melanda saya mula mengusahakan perniagaan secara dalam talian dan saya gembira dapat belajar banyak perkara hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

"Sementara menunggu panggilan sebagai doktor pelatih, saya merancang untuk mengembangkan perniagaan dan bersedia untuk menimba lebih banyak ilmu keusahawanan," katanya. 

5) Peluang kejar impian!

Melangkah masuk ke universiti bukan bermakna kehidupan anda terhad kepada pelajaran semata-mata. Ia sebenarnya peluang besar untuk mengasah potensi diri dan mencipta kejayaan yang tidak dapat dilupakan. 

error: Content is protected !!