Tips Untuk Bertahan/Survive Di Universiti
1) Pilih rakan yang betul
Bagi yang melanjutkan pelajaran dan jauh dari keluarga, rakan adalah orang yang terdekat dengan kita. Cari rakan yang dapat memotivasikan kita dan ingatkan kita untuk fokus pada pelajaran. Tapi pastikan kita pun jadi seorang rakan yang bermanfaat kepada orang lain.
2) Manfaatkan teknologi yang adabelajaran.
Pelajar universiti pada masa kini boleh manfaatkan pelbagai teknologi yang ada untuk ulang kaji, belajar perkara baru atau menyiapkan assignment. Contohnya, YouTube, Google Seach, LinkedIn Learning, NCBI dan sebagainya. Katakanlah tak tahu langsung macam mana nak cari maklumat di Google Search, Whatsapp rakan-rakan untuk tanya perkara yang berkaitan dengan pelajaran.
3) Jangan tangguhkan kerja
Tolong jauhkan diri dari sikap suka tangguhkan kerja sebab sikap macam ni boleh menyebabkan kita lagi tertekan. Kita tak boleh jangka kalau ada pensyarah yang tiba-tiba bagi tugasan tambahan atau kita ada hal kecemasan di kampung.
4) Berbelanja ikut kemampuan
Untuk mengelakkan daripada ditimpa masalah kewangan yang teruk, sila berbelanja ikut kemampuan diri. Salah satu cara yang boleh digunakan adalah keluar dengan pelajar yang latar belakang kewangannya lebih kurang sama dengan kita. Jadi, kurang sikit masalah berbelanja di tempat yang melampaui bajet kita.
5) Cari ahli kumpulan yang berkualiti
Semasa semester pertama, fokus untuk melihat personaliti dan sikap rakan sekelas. Kenal pasti kehadiran mereka ke kelas, kualiti kerja, kerjasama dengan orang lain dan komunikasi. Pilih ahli kumpulan yang mudah dihubungi, bersemangat untuk menyiapkan tugasan, sentiasa hadir ke kelas dan ada masa untuk hadirkan diri semasa perbincangan.
6) Bina hubungan yang baik dengan pensyarah dan rakan sekelas
Berbuat baik kepada semua orang tapi jangan sampai orang ambil kesempatan dan jangan sesekali melakukan kejahatan terhadap orang lain. Apabila kita ada hubungan yang baik dengan pensyarah dan rakan sekelas, banyak urusan yang dapat dipermudahkan.
7) Minta tips dari senior
Senior adalah orang yang tahu banyak benda dan selalunya akan beritahu perkara sebenar tentang pelajaran. Sebelum memilih subjek elektif, memohon tempat untuk latihan industri atau memilih tajuk untuk FYP, bertanya dengan senior terlebih dahulu. Kalau senior cakap sesuatu subjek tu susah, memang susah selalunya dan sebaliknya.
8) Kenal pasti apa yang menggembirakan diri
Setiap orang ada cara tersendiri untuk menggembirakan diri. Ada yang gembira apabila dapat makanan, pergi membeli-belah, berkumpul bersama ahli keluarga dan lain-lain. Sesibuk mana pun kita, luangkan sedikit masa untuk buat apa yang menggembirakan hati kita.
Semoga anda semua berjaya bertahan di universiti dan menamatkan pengajian dengan segulung ijazah. Perkara yang paling penting adalah ikut kemampuan diri dan jangan terlalu membandingkan diri kita dengan orang lain sampai kita lupa menghargai usaha sendiri.