Tips Mudah Menghafal & Ingat Sesuatu Dengan Cepat
1) Berdoa
Doa adalah senjata orang mukmin. Bacalah doa sebelum memulakan hafalan agar dikurniakan kefahaman yang baik dan ingatan yang kuat dan juga berdoa agar Allah meredhai dan memberkati hafalan dan usaha kita.
2) Fokus
Sebelum mula menghafal, pastikan anda fokus dan memberi sepenuh perhatian semasa menghafal. Jangan buat perkara lain ketika menghafal seperti menonton televisyen, bersembang, bermain telefon bimbit dan sebagainya kerana ia boleh mengganggu tumpuan untuk menghafal.
3) Baca berulang kali
Untuk menghafal, anda perlu baca berulang kali agar hafalan menjadi mantap. Sebaik-baiknya ulang sehingga 7 kali. Makin banyak anda mengulang, maka akan lebih mudah hafalan tersebut melekat di dalam ingatan.
4) Tulis kembali hafalan
Selepas selesai menghafal, cuba tulis kembali hafalan anda di dalam satu kertas untuk menguji sama ada anda betul-betul ingat ataupun tidak apa yang telah dihafal. Dengan cara ini juga anda akan dapat mengenal pasti jika terdapat kesalahan dalam menghafal. Jika salah anda boleh perbetulkan. Selain itu, bila anda tulis ia membantu mengukuhkan lagi daya ingatan anda.
5) Tenangkan fikiran
Pastikan sebelum menghafal anda tenangkan fikiran terlebih dahulu. Kosongkan fikiran yang berserabut. Apabila fikiran tenang anda akan mudah untuk menghafal.
6) Pilih waktu yang tepat untuk menghafal
Pilih waktu yang tepat untuk menghafal. Antara waktu yang sesuai untuk menghafal adalah waktu pagi iaitu sebelum dan selepas subuh kerana waktu ini lebih baik dan lebih mudah hafalan melekat di minda. Tetapi ada sahaja yang lebih suka menghafal pada waktu tengah malam kerana keadaannya yang sunyi dan nyaman. Maka, anda boleh memilih untuk menghafal pada mana-mana waktu yang anda rasakan sesuai dengan diri sendiri.
7) Ajar pada orang lain
Setelah selesai menghafal, bolehlah kuatkan ingatan dengan mengajar kepada orang lain pula. Ini adalah salah satu cara terbaik untuk menghafal. Dengan cara ini akan meningkatkan pemahaman dan daya ingatan melalui pengulangan bacaan dan penceritaan yang kita ucapkan. Lagi banyak kita mengajar orang lain, maka kita akan lagi cepat faham dan daya ingatan akan lebih kukuh.