Cara Menghafal Dengan Cepat Dan Berkesan
1) Pilih Waktu Yang Sesuai
Antara waktu yang baik untuk menghafal adalah pada waktu pagi atau pada 2/3 malam. Para pelajar boleh tidur selepas Isyak dan bangkit semula dalam pukul 3 pagi untuk menggunakan kesegaran tubuh dan minda pada waktu itu.
2) Menumpukan Perhatian Dan Fokus
Untuk membantu seseorang itu menghafal dengan mudah, sebelum mula menelaah pelajaran, pastikan tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap topik atau perkara yang ingin dihafal itu. Elakkan daripada sebarang gangguan seperti televisyen, telefon bimbit, atau perkara lain yang dapat mengalihkan perhatian daripada proses hafalan.
3) Dengar Bacaan Sendiri
Membaca dengan nada yang dapat didengari oleh diri sendiri dapat memudahkan seseorang untuk mengingati dengan lebih mudah. Sepertimana mendengar muzik atau lagu, teknik ini dapat membantu anda menghafal apa yang anda dengari.
4) Banyakkan Menulis
Apa-apa poin atau isi penting yang ingin dihafal, seeloknya tulis atau catatkannya. Selain mudah untuk dibaca semula pada bila-bila masa, mencatat sesuatu akan membantu anda untuk lebih mengingatinya berbanding dengan hanya membaca.
5) Perbanyakkan Latihan
Latihan secara asasnya adalah sesuatu yang dilakukan secara berulang kali sehingga menjadi kebiasaan. Membuat latihan dengan banyak bukan sahaja dapat memudahkan seseorang itu untuk menghafal tetapi juga akan meningkatkan lagi penguasaan terhadap sesuatu perkara. Bagi para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan, teknik ini amat berkesan kerana ia membolehkan anda untuk memberi fokus dan lebih mudah mengingati perkara-perkara penting.
6) Kongsi Atau Ajar
Ramai yang berpendapat bahawa seseorang itu perlu menguasai sesuatu topik sebelum mengajar atau berkongsi dengan orang lain. Tetapi sebenarnya ia adalah sebaliknya. Berkongsi ilmu atau mengajar orang lain dapat memudahkan kita untuk mengingat dan memahami topik tersebut kerana untuk mengajar berbuat demikian seseorang itu perlu menelaah dan membuat rujukan terlebih dahulu.
7) Jaga Pemakanan
Pemilihan makanan juga memainkan peranan. Makanan seperti kismis, madu, ikan segar dan macam-macam lagi dapat membantu minda menjadi sihat dan cerdas serta memudahkan hafalan.